[VIDEO] PRN Sabah ditetapkan pada 29 November, penamaan calon 15 November - SPR

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 15 November manakala tarikh undi awal pada 25 November dan tarikh undi pada 29 November.

Tarikh-tarikh penting itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun dalam sidang akhbar Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17 di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini pada Khamis.

Menurut Ramlan, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berhubung dengan pengisytiharan pembubaran Dewan Undangan Sabah ke-16 pada 6 Oktober lalu.

"Sehubungan itu, SPR telah mengadakan mesyuarat khas pada hari ini dan memutuskan PRU Dewan Undangan Sabah ke-17 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 73 kerusi dewan undangan tersebut.

"Bagi maksud menjalankan PRU Dewan Undangan Sabah ke-17, SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting iaitu hari penamaan calon pada 15 November 2025 (Sabtu), hari undi awal pada 25 November 2025 (Selasa) dan hari mengundi 29 November 2025 (Sabtu).

"Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 15 November 2025 (Sabtu) sehingga jam 11.59 malam, 28 November 2025 (Jumaat)," katanya.

Tambahnya, SPR telah melantik seramai 25 pengurus pilihan raya dibantu oleh 196 penolong pegawai pengurus bagi menjalankan proses PRU Dewan Undangan Sabah ke-17 tersebut.

"Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, SPR akan menubuhkan 86 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) yang turut dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.

"Sebanyak 25 pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan.

"Seramai 33,002 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU Dewan Undangan Sabah ke-17, manakala sebanyak 882 pusat mengundi biasa yang mengandungi 3,558 tempat mengundi dan saluran dan 58 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 87 tempat mengundi saluran awal akan digunakan.

"Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 940 dengan 3,645 tempat mengundi dan saluran," katanya.